TINTA AISYA HUMAIRA

www.tinta-aisya.blogspot.com

Ahlan Wasahlan Ke Blog Tinta Aisya.
"Wahai Tuhan Kami, Bukakanlah Ke Atas Kami Hikmah-Mu, Dan Limpahilah Ke Atas Kami Khazanah Rahmat-Mu. Wahai Tuhan Kami, Tambahkanlah Ilmu Kami Dan Luaskanlah Kefahaman Kami.Wahai Tuhan Kami, Lapangkanlah Dada-Dada Kami Dan Permudahkanlah Segala Urusan Kami". -Amin Ya Robb-
Selamat Melayari Blog Ini...

MUTIARA HADIS

www.tinta-aisya.blogspot.com

"Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak Sempurna Iman Seseorang Itu, Sehinggalah Dia Mengasihi Saudara Mereka (Sesama Islam), Sepertimana Dia Mengasihi Dirinya Sendiri" -Anas Bin Malik r.a.-
Ukhuwwah Fillah...

28 Mac 2010

Teguran (Part 1)

Perkataan boleh jadi setajam pisau

13 Rabi'ul Akhir 1431

Surah 'Abasa, surah ke-80 yang mempunyai 42 ayat adalah merupakan teguran dari Allah S.W.T. buat kekasih-Nya. Sebagaimana yang diriwayatkan, telah datang seorang buta iaitu Ummu Maktum kepada Rasulullah S.A.W. dan meminta Rasulullah S.A.W. supaya memberi petunjuk kepadanya. Lalu Rasulullah S.A.W. berpaling daripadanya kerana saat itu baginda sedang menghadapi para pembesar-pembesar Quraisy. Lalu Ummu Maktum berkata :

“Adakah aku menggangumu wahai Rasulullah?“

Lalu baginda menjawab, “Tidak”

Maka Allah S.W.T. menurunkan surah ini sebagai teguran atas perbuatan Rasulullah S.A.W. terhadap Ummu Maktum.

Jelas disini bahawa budaya tegur menegur ini merupakan salah satu amalan antara Allah S.W.T. dan para Nabi dan Rasul a.s. yang mana harus menjadi suatu amalan bagi kita semua lebih-lebih lagi yang bergelar azhariyyun dan azhariyyat ini.

Terdapat banyak lagi firman Allah S.W.T. di dalam Al-quran yang menekankan kepentingan budaya menegur di kalangan manusia. Cuma perihalnya kini adalah kepada cara perlaksanaannya . Bagaimana? Untuk apa? Kepentingan atau keikhlasan? Kesan dan sebagainya. Islam punya aturan dan garis panduan untuk setiap inci perkara di dalam kehidupan umatnya, walau hanya sekecil-kecil perkara.

Disebut di dalam sebuah hadis sahih di dalam kitab Riyadhus Solihin bahawa terdapat seorang lelaki pada hari Kiamat, perutnya panjang berjela-jela dan diikat pula pada penunggul. Kemudian perutnya diseret menggelilingi penunggul tersebut seperti beruk mengheret tali di sekelilingnya.

Maka manusia mengerumuninya seraya bertanya,

“Mengapa kamu dijadikan sedemikian rupa sedangkan di dunia dahulu kamulah orang yang hebat bercakap dan kamu ini seorang ustaz yang kerja kamu mencegah orang daripada melakukan maksiat dan menyuruh melakukan kebaikan?“

Lalu dia menjawab,

“Aku menyuruh orang berbuat baik tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Inilah balasan yang Allah S.W.T. berikan kepadaku“.

TUJUAN MENEGUR

Si penegur atau pemberi nasihat perlu jelas bahawa hadafnya melakukan teguran itu hanyalah satu iaitu untuk menegakkan kebenaran tetapi haruslah dengan kesabaran. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. (Surah Al-Asr)

Jadi haruslah kedua-dua si penegur dan yang ditegur jelas akan perihal teguran ini hanya untuk menegakkan kebenaran, dan kebenaran yang tertegak itu hasilnya kadangkala lambat, lalu perlulah bersabar dan bersikap positif. Ini lah konsep yang diketengahkan di dalam Al-quran.

Persoalan yang amat penting dan perlu diberi perhatian serius di sini adalah mengapa kita mahu menegur, benarkah kerana untuk menegakkan kebenaran atau disebabkan diri sendiri yang tidak berpuas hati? Ikhlaskan niat dan berhati-hatilah ketika menegur kerana disinilah selalunya timbul kesalahfahaman, yang mungkin menyentuh sensitiviti ke atas sesuatu perkara selain menyebabkan perasaan orang yang ditegur itu tersinggung.

CARA TEGURAN YANG DILAKUKAN OLEH RASULULLAH SAW (SBG KUDWAH HASANAH)

Firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nahl ayat : 125, yang bermaksud :

“Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik”.

Merujuk kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ayat ini menyuruh para daie supaya menyebarkan dakwah serta memberi nasihat kepada ‘orang-orang Islam’ secara khususnya dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan berstrategi. Para daie mestilah menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligus matlamat dakwah jauh dari realiti dan tidak terlaksana.

Sirah Rasulullah S.A.W. mencatat pelbagai peristiwa teguran Rasulullah S.A.W. kepada orang yang berbeza dengan kaedah berbeza.

Dalam sebuah kisah di mana seorang lelaki yang datang meminta izin baginda untuk berzina. Lalu apa respon baginda? Adakah Rasulullah S.A.W. mencerca atau memukul atau memaki-hamun lelaki tersebut? Tidak, bahkan Rasulullah S.A.W. bertanya lelaki itu kembali, “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu?” Jawab lelaki itu : “Aku tidak suka wahai Rasulullah” Lantas baginda berkata dengan lembut : “Begitu juga dengan orang lain, mereka juga tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita di kalangan kerabat mereka”.

Itulah di antara uslub atau kaedah Rasulullah S.A.W. menegur dan berdakwah kepada orang lain. Lalu mengapa kita sering memandang remeh tips-tips yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. ini. Jadi, gunakan budaya menegur sebagai perantaraan untuk menambah kawan dan taulan bukan untuk mencari musuh dan pergaduhan.

Malah Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat : 159 yang bermaksud :

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”.

Dan Rasulullah S.A.W. bersabda :

المسلم من سلم المسلمين من لسانه ويده

"Muslim itu adalah seorang yang menyelamatkan(atau mensejahterakan) muslim yang lain dengan lisannya (percakapan) dan tangannya".

ADAB MENEGUR

Panggillah dengan apa-apa gelaran yang sesuai,yang dapat melembutkan hati terutamanya mereka yang lebih tua dan berhentilah merendah-rendahkan orang lain, teruskan berkongsi kerana ia sangat penting buat kita.

Perbetulkan niat, ikhlaskan kerana Allah, jangan menganggap bahawa diri kita sebegai penegur adalah lebih mulia. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang bertaqwa”.

Lalu mana kita tahu amalan siapa yang lebih tinggi darjatnya? Mana kita tahu amalan siapa pula yang diterima-Nya. Jadi, diingatkan di sini bahawa teguran yang kita lakukan itu adalah sebagai satu usaha dari seorang manusia dan tinggalkan urusan selebihnya kepada Allah S.W.T. yang Maha Haqq dalam menilai iman dan taqwa seseorang.

TEGURAN DAN JIWA BESAR, SABAR DAN HUSNUDZON YANG TINGGI

Teguran itu ada kaitannya dengan penerimaan hati dan jiwa. Manusia berhubungan dengan perasaan. Perlu tulus dan ikhlas. Lainnya, perlu banyak sabar dan bersangka baik terhadap orang yang ditegur. Jelaskan dahulu dengan kekusutannya, baharu disusun kata dalam nasihat. Di sinilah selalunya timbul masalah apabila kita kurang sabar dalam memerhatikan perubahan seseorang setelah di tegur.

Seorang ahli ilmu balaghah pernah berkata yang di petik di dalam buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni :

“Janganlah kerana satu aib tersembunyi atau dosa kecil yang sebenarnya dapat ditutupi oleh kebaikannya yang lebih banyak, anda menjadi jauh dari seseorang yang pernah anda puji latar belakangnya, yang pernah anda terima kehidupannya, yang pernah anda ketahui kemuliaannya, dan yang pernah anda ketahui kemampuan berfikirnya. Sesungguhnya engkau selamanya tidak akan mendapat teman yang bersih tanpa kelemahan dan tidak pernah melakukan suatu kesalahan”.

DOA

Doa Agar Difasihkan Lidah dan Dilapangkan Dada Untuk Melakukan Teguran

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan bukakanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.

-Surah Taha ayat 25-26

Amalkan ayat ini sebelum memulakan teguran.

Aisya : Tegurlah dengan cara yang baik, janganlah dengan teguran yang kita lakukan itu memulakan bibit-bibit persengketaan yang amat merugikan dengan kalam amarah yang sia-sia. Kadang-kadang kita mampu memberi motivasi dan pandangan terhadap sesuatu perkara tetapi kita tidak mampu untuk memotivasikan diri kita sendiri. Ini adalah kerana timbulnya sekelumit sifat hasad di hati kita yang tidak suka melihat orang lain lebih dari kita dan merasakan kita lebih sempurna berbanding orang lain… Fikirkanlah… Renungilah…

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Tinta Aisya is wearing Abu Uttoh by Aisya Studio | To Blogger by Aisya Humaira at Faisal'z Studio | Entries (RSS) and Comments (RSS).