TINTA AISYA HUMAIRA

www.tinta-aisya.blogspot.com

Ahlan Wasahlan Ke Blog Tinta Aisya.
"Wahai Tuhan Kami, Bukakanlah Ke Atas Kami Hikmah-Mu, Dan Limpahilah Ke Atas Kami Khazanah Rahmat-Mu. Wahai Tuhan Kami, Tambahkanlah Ilmu Kami Dan Luaskanlah Kefahaman Kami.Wahai Tuhan Kami, Lapangkanlah Dada-Dada Kami Dan Permudahkanlah Segala Urusan Kami". -Amin Ya Robb-
Selamat Melayari Blog Ini...

MUTIARA HADIS

www.tinta-aisya.blogspot.com

"Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak Sempurna Iman Seseorang Itu, Sehinggalah Dia Mengasihi Saudara Mereka (Sesama Islam), Sepertimana Dia Mengasihi Dirinya Sendiri" -Anas Bin Malik r.a.-
Ukhuwwah Fillah...

28 Ogos 2009

Antara Kesilapan-Kesilapan Orang-Orang Islam Di Bulan Ramadhan

Ahlan Ya Ramadhan

8 Ramadhan 1430

Antara kesilapannya ialah :

PERTAMA : Makan dan minum dengan bebas setelah terbatal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang boleh diterima syara').
Keadaan seperti ini ada disebutkan di dalam hadith yang bermaksud : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasanya) maka hendaklah dia berpuasa baki harinya itu". (riwayat Bukhari)

KEDUA : Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. "Sahur" dari sudut bahasa Arab bermaksud "Aslah" iaitu (waktu terakhir di hujung malam).
Imam Ibnu Hajar menegaskan di dalam kitabnya Fathul Bari : "Melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW".

KETIGA : Bersahur dengan hanya makan dan minum sahaja tanpa melakukan ibadah yang lain. Ini satu kesilapan besar bagi umat Islam kini. Waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik unntuk istighfar dan menunaikan solat malam. Waktu sahur adalah salah satu waktu dimana doa mudah untuk diangkat oleh Allah SWT.

KEEMPAT : Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ini juga adalah satu kesilapan yang amat besar bagi umat Islam masa kini. Memang benar solat bukanlah syarat sah untuk seseorang berpuasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tunggak kepada keislaman seseorang. Sesungguhnya solat itu adalah soalan pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada kita di akhirat kelak.

KELIMA : Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan kerja yang kita lakukan di pejabat atau di mana-mana tempat kerja pun, bila diniatkan sebagai ibadah maka sudah pastinya akan menambahkan lagi pahala untuk kita.

KEENAM : Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah satu ibadah. Sedangkan Imam As-Suyuti menegaskan bahawa hadith yg menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadah adalah amat lemah. (Al-Jami' as-Soghir : Faidhul Qadir, Al-Munawi)

KETUJUH : Tidak mengutamakan solat subuh berjemaah sebagaimana tarawih. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutama sekali solat Subuh berjemaah yang disebut oleh Nabi SAW : "Bagi orang yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, maka dia akan beroleh pahala menghidupkan seluruh malam".

KELAPAN : Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat sekadar inginkan kemeriahan di bulan Ramadhan. Malangnya mereka kerana setiap amalan adalah dikira berdasarkan niat, jika niat utama seseorang itu (lelaki mahupun wanita) hadir ke masjid adalah untuk suatu kemeriahan, dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharapkan ganjaran redha Allah SWT sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith yang bermaksud :
"Sesungguhnya sesuatu amalan itu adalah di kira berdasarkan niat". (Riwayat Bukhari)

KESEMBILAN : Memasuki Ramadhan dengan keadaan harta masih lagi dipenuhi dengan harta haram, sama ada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insurans, pelaburan dan kereta secara riba'. Ini sudah tentu akan memberi kesan yg amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan. Kerana status orang yang terlibat dengan riba' adalah berperang dengan Allah dan Rasul-Nya... wal'iyazubillah min zalik.

Aisya : Ahlan Ya Ramadhan... Alhamdulillah, tahun ni dapat berpuasa dan berterawih bersama keluarga.

8 Ogos 2009

Kecelakan Zina

Jauhilah perlakuan zina

18 Sya'ban 1430

“Wahai sekalian manusia, jauhilah oleh mu akan perbuatan zina, kerana ianya mendatangkan 6 kecelakaan. Ada pun yang 3 di dunia, dan 3 pula di akhirat, iaitulah menjatuhkan harga diri menyebabkan kemiskinan dan memendekkan umur, dan 3 lagi di akhirat ialah dibenci Allah, keburukan semasa perhitungan dan azab seksa neraka. - (Hadith riwayat Huzaifah r.a.)

Perlakuan zina telah dilarang keras oleh Allah sejak dari zaman Nabi Musa a.s. Nabi Isa Al-Masih sendiri amat memandang berat perlakuan ini hinggakan baginda sentiasa berpesan kepada murid-muridnya ; sekiranya kamu telah terlanjur melakukan zina (memandang wanita dengan penuh syahwat), maka adalah lebih baik dikorekkan mata-mata kamu.

“Janganlah kamu mendekati zina, kerana ianya tersangat keji dan merupakan jalan yang amat jahat" (Al-Isra’ : 32)

“Dan lelaki penzina, yang dinikahinya ialah perempuan penzina atau perempuan musyrik. Perempuan penzina dinikahkan baginya ialah lelaki penzina atau lelaki musyrik, dan diharamkan yang demikian itu atas orang yang beriman” (Surah An-Nur : 3)

Islam menggesa lelaki yang beriman agar mencari jodoh dengan perempuan yang beriman, begitu juga perempuan digesa mencari jodoh dengan lelaki yang beriman agar rumahtangga yang dibina akan sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Perkahwinan hendaklah diletakkan atas dasar amanah Allah bukan atas dasar cinta semata-mata.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Hendaklah kamu sentiasa berwasiat dan berpesan-pesan terhadap perempuan dengan sebaik-baiknya kerana kamu mengambilnya sebagai isteri adalah amanah dari Allah dan dengan itu halallah kehormatannya bagimu, setelah dihalalkannya dengan kalimah Allah” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Definasi berzina menurut Islam ialah persetubuhan yang terjadi di luar nikah, walaupun dalam keadaan suka sama suka. Untuk menghalalkan persetubuhan dan menjaga kehormatan, hendaklah dihubungkan lelaki dan perempuan dengan ikatan yang sah iaitu ikatan pernikahan.

Pada zaman pemerintahan khalifah Ar-Rasyidin yang ke-4 iaitu Saidina Ali bin Abi Thalib KWJ, mereka yang melakukan liwat iaitu persetubuhan antara lelaki sesama lelaki mahupun perempuan sesama perempuan, dikenakan hukum yang amat berat, iaitu dibakar. Hukuman bunuh pula dikenakan bagi mereka yang melakukan persetubuhan dengan haiwan.

Kecelakaan zina

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud :

”Sesungguhnya bumi beserta tujuh petala langit mengutuk sekeras-kerasnya bagi mereka yang selalu melakukan zina dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kemaluan pelacur teramatah busuk sehingga menggangu penghuni-penghuni neraka" (Hadis riwayat Al-Bazzar)

Kesimpulannya

Di antara sifat orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah menjaga kemaluan dan kehormatan dari terjebak dengan sebarang perlakuan zina kerana zina termasuk dalam kategori dosa-dosa besar (Al-Kaba'ir) sepertimana dosa orang yang membunuh, meminum arak dan sebagainya.

“Janganlah kamu mendekati zina, kerana ianya tersangat keji dan merupakan jalan yang amat jahat" (Al-Isra’ : 32)
Larangan zina sepertimana ayat di atas mempunyai maksud yang amat mendalam. Selain dari larangan melakukan zina itu, Allah juga melarang kita melakukan perkara-perkara yang boleh mendorong ke arah zina seperti memandang aurat wanita, mendengar sesuatu yang boleh menaikkan syahwat seperti kelunakan suara wanita, bergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan sebagainya.

Etika berpakaian juga harus dititikberatkan di mana pakaian seorang muslimah itu wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang dari dorongan syahwat yang berahi kerana sekiranya aurat tidak ditutup dengan sempurna ianya akan mengundang kepada berlakunya kejadian rogol atau perbuatan zina yang boleh merosakkan maruah individu yang terlibat.

Hari ini seakan sudah menjadi trend muda mudi yang kebanyakannya memakai pakaian yang terlalu pendek, ketat, nipis, jarang, membentuk tubuh dan menjolok mata. Fenomena seperti ini wajiblah dicegah demi menjaga kesejahteraan seluruh masyarakat dan yang paling penting supaya maruah dan harga diri kita terjaga.

Segala saluran boleh membawa manusia kepada perzinaan seperti rumah-rumah pelacuran, disko-disko, rumah-rumah urut dan sebagainya hendaklah ditutup keseluruhannya. Jika tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

Aisya : Kebanyakan wanita hari ini terlalu ghairah mengejar dunia fesyen yang mana membuatkan mereka lupa bahawa mereka sedang menjual maruah dan harga diri mereka. Pakaian yang ketat dan menjolok mata itulah yang sentiasa menjadi buruan mereka. Semakin hari semakin ketat, semakin hari semakin singkat, seolah-olah dunia ini sudah kehabisan kain untuk dijadikan pakaian. Dulu, mungkin kita pernah terfikir betapa peliknya dunia ini sekiranya manusia tidak lagi berpakaian, mungkin kita terfikir bahawa itu tidak mungkin akan terjadi. Tetapi lihatlah sekarang, di negara-negara barat, telah banyak pantai-pantai dibuka yang mana pengunjung-pengunjungnya tidak dibenarkan memakai seurat benang pun di badan ketika berjemur. Malahan pantai-pantai sebeginilah yang menjadi tumpuan ramai. Juga umat Islam.
Satu pesanan buat wanita, terutamanya yang masih gemar berpakaian seksi dan menjolok mata, satu fakta yang amat jelas kebenarannya, bahawa nafsu wanita bermula dengan sentuhan, manakala nafsu lelaki bermula dengan pandangan. Ramai wanita masih tidak mengetahui fakta ini dan merasakan bahawa dengan berpakaian ketat tidak akan membuatkan lelaki merasa berahi sedangkan kita perlu sedar bahawa kitalah pendorong sebenar terjadinya gejala maksiat. Jadi, untuk mengelakkan kejadian yang tak diingini seperti rogol, zina dan sebagainya, beramallah dengan Islam yang mensyariatkan aurat sebagai maruah dan harga diri seorang muslimah.

Related Posts with Thumbnails

Tinta Aisya is wearing Abu Uttoh by Aisya Studio | To Blogger by Aisya Humaira at Faisal'z Studio | Entries (RSS) and Comments (RSS).