TINTA AISYA HUMAIRA

www.tinta-aisya.blogspot.com

Ahlan Wasahlan Ke Blog Tinta Aisya.
"Wahai Tuhan Kami, Bukakanlah Ke Atas Kami Hikmah-Mu, Dan Limpahilah Ke Atas Kami Khazanah Rahmat-Mu. Wahai Tuhan Kami, Tambahkanlah Ilmu Kami Dan Luaskanlah Kefahaman Kami.Wahai Tuhan Kami, Lapangkanlah Dada-Dada Kami Dan Permudahkanlah Segala Urusan Kami". -Amin Ya Robb-
Selamat Melayari Blog Ini...

MUTIARA HADIS

www.tinta-aisya.blogspot.com

"Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak Sempurna Iman Seseorang Itu, Sehinggalah Dia Mengasihi Saudara Mereka (Sesama Islam), Sepertimana Dia Mengasihi Dirinya Sendiri" -Anas Bin Malik r.a.-
Ukhuwwah Fillah...

31 Mei 2009

Tips Penjagaan Laptop Yang Perlu Diketahui

Layari Tinta Aisya dengan laptop anda!

6 Jamadil Akhir 1430

Laptop pada masa kini sangat popular kerana dengan adanya laptop, tugas kita menjadi lebih cepat dan mudah. Berbeza suatu ketika dahulu, ketikamana kali pertama laptop diperkenalkan, harganya tersangatlah mahal. Hanya golongan berada sahaja yang mampu memilikinya. Namun pada hari ini, kita dapat melihat betapa pentingnya laptop untuk dimiliki oleh setiap orang. Kalau dahulu sering kita dengar laungan slogan dari kerajaan berbunyi "sebuah rumah sebuah komputer", tapi kini boleh dikatakan setiap orang yang bergelar student memiliknya. Sememangnya ia sudah menjadi keperluan yang sangat penting kepada mereka. Malah, student-student sekolah rendah juga sudah diperkenalkan dengan penggunaan laptop di sekolah-sekolah mereka.

Dari sudut ketahanan, komputer peribadi (PC) dan laptop adalah sangat berbeza. Laptop dikatakan lebih sensitif dan perlu dijaga dengan berhati-hati. Di bawah ini adalah sebahagian tips penting yang perlu kita ketahui untuk menjaga laptop kesayangan kita.

PERTAMA : Jangan letakkan laptop anda di atas katil, karpet atau permukaan yang lembut dan tertutup yang mana boleh menyebabkan aliran udara kipas laptop anda tertutup. Ini akan menyebabkan laptop anda akan menjadi overheating (kepanasan maksima) dan akibat daripada itu boleh menyebabkan motherboard terbakar atau kerosakan pada hardware-hardware lain.

KEDUA : Jangan amalkan meletak laptop di pangkuan anda (di paha anda). Selain menyebabkan kerosakan pada laptop, ia juga boleh mendatangkan penyakit kepada kita kerana haba yang dikeluarkan oleh laptop boleh memberi kesan kepada kulit kita (sebagaimana kajian).

KETIGA : Untuk menjadikan bateri lebih tahan dan tidak rosak (bateri kong), buka bateri laptop anda ketika ia telah penuh dicas. Hanya sambungkan kabel power untuk memastikan laptop anda berfungsi tanpa memerlukan bateri. Tidak digalakkan menggunakan laptop sambil kabel power dan bateri terpasang pada laptop anda. Sekiranya terlalu lama dalam keadaan begitu, mungkin boleh menyebabkan bateri terlalu panas dan meletup. Ini sebagai langkah berjaga-jaga kerana saya pernah terbaca kes ini dalam paper.

KEEMPAT : Jangan letak laptop anda di kawasan yang basah. Begitu juga dengan minuman. kebanyakan orang suka meletak minuman mereka di sebelah laptop ketika menggunakannya. Air yang tertumpah pada laptop boleh menyebabkan litar pintas pada motherboard dan kerosakan lainnya.

KELIMA : Jangan biarkan laptop anda berjemur di bawah matahari yang terik ataupun di dalam kereta ketika parking di bawah matahari.

KEENAM : Pastikan laptop anda diletakkan di kawasan yang rata bagi mengelakkannya daripada terjatuh. Laptop yang terjatuh atau terhempap akan menyebabkan hardware dalam laptop tersebut terjejas.

KETUJUH : Seboleh-bolehnya jauhkan laptop anda dari magnet kerana ianya boleh merosakkan paparan pada screen laptop.

KELAPAN : Pastikan laptop anda diberikan rehat, jangan dibiarkan ianya terpasang hampir sehari setiap hari (ketahanan laptop berbeza dengan PC biasa).

Aisya : Nasihat saya, jagalah laptop anda sebaik mungkin kerana ianya sangat penting untuk meng'update' blog...hehehe!!

29 Mei 2009

Kisah Teladan : 4 Isteri, Jagalah Yang Pertama

4 Isteri, Jagalah Yang Pertama

5 Jamadil Akhir 1430

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia amat mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebabnya, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairanlah lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang itu tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup sudah tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani hingga akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkanku, aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu." Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.

Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu bergumam, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."

Wahai sahabat-sahabat, sesungguhnya kita mempunyai empat orang isteri dalam hidup ini :

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadap-NYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai di kubur saja mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak.

Aisya : Selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Wallahua'lam.

Abu Uttoh dan Imtihan

4 Jamadil Akhir 1430

28 May 2009 – Alhamdulillah, arini dapat jugak buat posting baru setelah lame menyepi. Sebenarnya baru jer balik dari kuliah ni, kaki pun tak sempat rehat lagi, tapi tangan dah gatal-gatal taip posting…hehehe!! Bese la, time imtihan (exam) camni penat skit, memerah otak. Erm, syukur Alhamdulillah dah selesai 2 paper subjek Al-Quran & Bahas Fiqhi, ade 2 paper lagi yang perlu dijawab minggu depan, subjek Usul Fiqh & Hadis Ahkam. Huhu…tak sabar dah nak habiskan! (padahal tak sabar nak balik Mesia).

Hmm…takde idea yang nak dipostingkan. Fikiran sedang dihantui oleh 2 lagi paper yang perlu dijawab minggu depan. So, nak posting ape ek?! Ok, rasenye nak mintak Abu Uttoh kongsi skit pengalaman dan suasana imtihan kat kuliah dia. Kene interview dia jap. Cewah, cam wartawan lak!! Kui kui kui… Apepun, jom kite tengok gambar-gambar yang sempat Abu Uttoh snap ngan kamera handset dia.

Azharians sedang khusyuk study dalam Masjid Al-Azhar.

Azharians berpusu-pusu keluar dari Masjid Al-Azhar setelah selesai solat Zohor.

Azharians menuju ke dewan kuliah.

Gambar pertama kat atas ni mase kat dalam Masjid Al-Azhar. Wahh…ramai betul orang. Ni lah suasana time sebelum masuk dewan peperiksaan. Imtihan start jam 1.30 petang, lepas zohor. So, sebelum tu zohor tu, student-student Al-Azhar study kat tiang-tiang dalam Masjid Al-Azhar yang penuh barokah itu sementera tunggu masuk waktu zohor. Besenya lepas selesai solat zohor, tok imam Masjid Al-Azhar ni akan bacekan doa penerang hati untuk student-student supaya student-student dapat jawab soalan dengan tenang. Gambar kedua & ketiga tu plak ialah suasana sesudah selesainya solat zohor. Masing-masing terus berbondong-bondong menuju ke dewan peperiksaan.

Suasana perkarangan University Al-Azhar.

Bangunan Kuliah Syariah.

Then, gambar seterusnya, suasana di perkarangan University Al-Azhar. Gambar yang bawah tu adalah bangunan kuliah Abu Uttoh, ade tertulis kat bangunan tu Kuliah Syariah. Walaupun bangunannya nampak agak lama, tapi harus diingat, di sini lah lahirnya ribuan ilmuan-ilmuan Islam yang terkemuka di dunia.

Dalam dewan peperiksaan.

Suasana beberapa minit sebelum imtihan bermula.

Next, gambar dalam dewan kuliah plak. Hmm…ni lah dia dewan kuliah Al-Azhar. Gambar yang atas tu gambar murokib yang menjaga dewan peperiksaan. Actually, mase tu dia tengah tunggu student-student masuk dalam dewan kuliah. Ternampak botol air plak, hehehe..!! Abu Uttoh kate botol air tu milik Ustaz Ramadhan Syakir, seorang blogger yang terkenal di kalangan Azhari (blogger : Buku Nota). Gambar bawah plak, ustaz-ustaz indon ngah belek-belek kitab kali terakhir sebelum imtihan bermula. Beginilah suasana imtihan Abu Uttoh setiap hari Ahad & Rabu.

Apepun buat sahabat semua,teruskan berusaha dan berjuang menempuh imtihan dengan jayanya. Moga-moga kite semua diberi nusrah oleh Allah Taala dalam menempuh imtihan dan ujian di dunia dan akhirat. Amin ya Rob…

Aisya : Moga-moga Abu Uttoh najah dalam imtihan tahun ni dan seterusnya... Amin!!

Kisah : Pencuri Yang Bertaqwa

Jadilah insan yang bertaqwa...

5 Jamadil Akhir 1430

Ada seorang pemuda yang bertaqwa. Suatu ketika, dia mempelajari ilmu agama daripada seorang syeikh. Setelah lama menuntut ilmu, syeikh itu menasihatinya dan sahabat-sahabatnya : "Kalian tidak boleh menjadi beban kepada orang lain. Sesungguhnya, seorang alim yang menadahkan tangannya kepada orang lain, maka tiada kebaikan dalam dirinya. Pergilah kalian semua dan bekerjalah dengan pekerjaan ayah kalian masing-masing. Sertakanlah ketaqwaan kepada Allah SWT dalam menjalankan pekerjaan tersebut."

Maka pergilah pemuda tadi menemui ibunya seraya bertanya : "Ibu, apakah yang dikerjakan oleh ayahku dahulu?" Sambil terketar ibunya menjawab, "Ayahmu sudah meninggal. Apa urusanmu dengan pekerjaan ayahmu?" Si pemuda ini terus memaksa agar diberitahu, tetapi si ibu selalu mengelak. Namun, akhirnya si ibu terpaksa memberitahu juga, dengan nada sinis si ibu berkata, "Ayahmu dahulu seorang pencuri."

Pemuda itu berkata, "Guruku memerintahkan kami murid-muridnya untuk bekerja seperti pekerjaan ayah kami masing-masing dan dengan bersertakan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam menjalankan pekerjaan tersebut."

Ibunya menyela, "Hai anakku! apakah dalam pekerjaan mencuri ada ketaqwaan?" Kemudian anaknya menjawab dengan tenang, "Ya ibu, begitulah kata guruku."

Lalu dia lantas mempelajari cara-cara menjadi seorang pencuri. Sekarang dia telah mengetahui dan memahami teknik-teknik mencuri. Inilah saatnya untuk dia beraksi. Dia menyiapkan alat-alat untuk mencuri, kemudian menunaikan solat Isya' dan menunggu sehingga orang-orang ketiduran. Kemudian dia mulai keluar rumah untuk menjalankan profesion ayahnya dengan penuh ketaqwaan, seperti yang diperintahkan oleh gurunya. Dia mulai dengan rumah jirannya. Saat hendak masuk ke dalam rumah itu dia teringat pesan gurunya agar selalu bertaqwa. Akhirnya rumah jirannya itu ditinggalkan. Lalu dia melewati sebuah rumah yang lain, dan berbisik pada dirinya, "Ini adalah rumah anak yatim, sesungguhnya Allah SWT melarang kita daripada memakan harta anak yatim." Dia terus berjalan dan akhirnya tiba di rumah seorang pedagang kaya yang tidak ada pengawal mengawasinya. Semua orang sudah tahu bahawa pedagang ini memiliki harta yang melebihi keperluannya. "Haa, di sini," gumamnya. Pemuda itu segera memulakan aksinya. Dia berusaha membuka pintu dengan kunci-kunci yang telah dipersiapkan. Setelah berhasil masuk, rumah itu ternyata amat besar dan banyak terdapat banyak bilik. Dia kemudiannya mengelilingi sekitar ruang di dalam rumah, sehingga berjaya menemui tempat penyimpanan harta. Dia membuka sebuah kotak, didapatinya emas, perak, dan wang tunai dalam jumlah yang banyak. Dia tergoda untuk mengambilnya. Lalu dia berkata, "Eh, jangan! Guruku berpesan agar aku selalu bertaqwa. Barangkali pedagang ini belum mengeluarkan zakat hartanya. Jikalau begitu, sebaiknya aku keluarkan zakatnya terlebih dahulu."

Dia lalu mengambil buku-buku catatan yang ada di situ dan menghidupkan lentera kecil yang dibawanya. Sambil membuka lembaran buku-buku itu dia menghitung-hitung. Dia mengira-ngira kesemua harta yang ada dan memperhitung berapa zakatnya yang perlu dikeluarkan. Kemudian dia memisahkan harta yang akan dizakatkan. Dia masih terus mengira-ngira dan menghabiskan waktu berjam-jam lamanya. Saat dia menoleh kea rah tingkap, ternyata fajar telah menyingsing. Dia berbicara sendiri, "Ingat perlu taqwa kepada Allah! Aku harus solat subuh dahulu!" Kemudian dia keluar menuju ruang tengah rumah, lalu berwudhuk di sebuah kolah air dan selanjutnya dia terus melaksanakan solat sunat. Tiba-tiba tuan rumah terjaga. Dilihatnya dengan penuh kehairanan, ada lentera kecil yang menyala. Dan dilihat juga kotak hartanya dalam keadaan terbuka serta ada seseorang yang sedang melakukan solat. Isterinya bertanya, "Apa ini?" Dijawab oleh suaminya, "Demi Allah, aku juga tidak tahu." Lalu dia menghampiri si pencuri itu, "Kurang ajar, siapa kamu dan apa yang kamu mahu?" Si pencuri berkata, "Solat dahulu baru berbicara. Ayuh, pergilah berwudhuk lalu kita solat berjamaah. Tuan rumahlah yang berhak menjadi imam."

Kerana khuatir pencuri itu membawa senjata, tuan rumah itu menuruti kehendaknya. Selesai solat dia bertanya, "Sekarang cuba kamu ceritakan, siapakah kamu dan apa urusanmu di dalam rumahku ini?" Dia menjawab, "Saya ini pencuri." "Lalu apakah yang kau perbuat dengan buku-buku catatanku ini?" tanya tuan rumah itu lagi. Si pencuri menjawab, "Aku mengira zakat yang belum kau keluarkan selama enam tahun. Sekarang aku sudah mengiranya dan juga sudah aku pisahkan agar kamu dapat memberikannya kepada orang yang berhak." Lalu dia berkata dengan penuh kehairanan, "Wahai pemuda, ada apakah denganmu sebenarnya. Apakah kamu ini sudah gila?"

Maka, si pencuri itu mula bercerita dari awal sampai akhir. Setelah tuan rumah itu mendengar ceritanya dan mengetahui ketepatan serta kepandaiannya dalam menghitung, juga kejujuran kata-katanya, serta mengerti akan manfaat dan kewajipan menunaikan zakat, dia lantas pergi menemui isterinya. Mereka berdua mempunyai seorang anak gadis. Setelah keduanya berbicara, tuan rumah itu kembali menemui si pencuri, lalu berkata, "Bagaimana sekiranya kamu kunikahkan dengan puteriku. Aku akan angkat kamu sebagai juru hitungku. Kamu boleh tinggal bersama ibumu di rumah ini." Dia menjawab, "Aku setuju." Di pagi harinya tuan rumah memanggil para saksi untuk acara akad nikah putrinya dengan si pemuda itu.

Aisya : Kisah yang agak lucu tetapi mempunyai maksud yang amat mendalam. Moralnya, bertaqwalah kepada Allah SWT dalam apa jua perkara…

20 Mei 2009

Penemuan Menarik Berkenaan B.A.B.I.

Khinzir...

26 Jamadil Awal 1430

Dari Abdullah bin 'Amr r.a. sabda Rasulullah SAW :
"Sampaikanlah pesanku walaupun sepotong ayat..."

Hal ini penting untuk diketahui, terutama oleh pemuda-pemuda kita yang sering ke negara-negara Eropah dan Amerika di mana daging babi adalah makanan asas dalam hidangan mereka. Mari kita hayati satu kejadian yang berlaku ketikamana Imam Muhammad Abduh mengunjungi Perancis satu ketika.

Mereka bertanya kepadanya mengenai rahsia diharamkannya babi dalam Islam. Mereka bertanya kepada Imam, "Kalian (umat Islam) mengatakan bahwa babi haram, kerana ia memakan sampah yang mengandung cacing pita, mikroba-mikroba dan bakteria-bakteria lainnya. Hal itu sekarang ini sudah tidak ada. Kerana babi diternak dalam penternakan moden, dengan kebersihan yang terjamin, dan proses sterilisasi yang mencukupi..

Bagaimana mungkin babi-babi itu terjangkit cacing pita atau bakteria dan mikroba lainnya? "Imam Muhammad Abduh tidak langsung menjawab pertanyaan itu, dan dengan kecerdikannya beliau meminta mereka untuk menghadirkan dua ekor ayam jantan beserta seekor ayam betina, dan dua ekor babi jantan beserta seekor babi betina. Mengetahui hal itu, mereka bertanya, " Untuk apakah semua ini?" Beliau menjawab, "Penuhi apa yang saya minta, maka akan saya perlihatkan kepada kamu semua suatu rahsia".

Mereka memenuhi apa yang beliau minta. Kemudian Imam Muhammad Abduh memerintahkan agar dilepaskan dua ekor ayam jantan beserta seekor ayam betina dalam sebuah kandang. Kedua ayam jantan itu kemudiannya berkelahi dan saling bunuh membunuh antara satu sama lain untuk mendapatkan ayam betina bagi dirinya sendiri, sehinggalah salah seekor dari keduanya hampir tewas. Beliau lalu memerintahkan agar mengurung kedua ayam tersebut.

Kemudian beliau memerintahkan mereka untuk dilepaskan dua ekor babi jantan bersama dengan seekor babi betina. Kali ini mereka menyaksikan keanehan. Seekor babi jantan membantu temannya sesama jantan untuk melaksanakan hajat seksualnya, tanpa rasa cemburu, tanpa harga diri atau keinginan untuk menjaga babi betina dari temannya.

Selanjutnya Imam Muhammad Abduh berkata, "Saudara-saudaraku lihatlah, daging babi membunuh 'ghairah' orang yang memakannya. Itulah yang terjadi pada kalian semua. Seorang lelaki dari kalian melihat isterinya bersama lelaki lain, dan membiarkannya tanpa rasa cemburu, dan seorang bapa di antara kalian melihat anak perempuannya bersama lelaki asing, dan kalian membiarkannya tanpa rasa cemburu dan was-was, kerana daging babi itu menularkan sifat-sifatnya pada orang yang memakannya.

Aisya : Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud ; "Sesungguhnya Allah mengharamkan bagi kamu bangkai, darah, daging babi dan binatang (yang ketika mana disembelih) di sebut (nama) selain Allah..."

17 Mei 2009

Kisah Teladan : Pisang Dan Hati (Sempena Hari Guru)

Kenangan Abu Uttoh bersama sahabat-sahabat ketika di SMAASZA.

22 Jamadil Awal 1430

Cikgu Maryam, guru kelas tahun 3, menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya bersempena hari guru. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Cikgu Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Maryam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu", beritahu Cikgu Maryam.

Cikgu Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci.

Aisya : Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah di dalam hati. Sebagaimana pisang yangg makin membusuk, begitulah juga hati. Selamat Hari Guru buat semua guru.

15 Mei 2009

10 Amalan Terbalik

Hayatilah Islam. Jadilah seorang Muslim yang sejati.
(Hanya sekadar hiasan)

20 Jamadil Awal 1430


Pertama : Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW di mana Rasulullah SAW telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyediakan makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

Kedua : Kalau hadir ke kenduri walimatul'urus (kenduri kahwin), orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tidak ada duit untuk dikepit dalam tangan, maka segan dia nak ke kenduri itu. Tetapi kalau dia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tidak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

Ketiga : Ketika menghadiri majlis pemimpin negara, kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tidak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?

Keempat : Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan untuk menghabiskan makanan yang dihidangkan kerana berasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut ialah dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

Kelima : Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk mengelakkan rasa riak.

Keenam : Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati bahawa perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasalah yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

Ketujuh : Kalau hendak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila pulang dari Mekah tidak sedikitpun dibuat kenduri. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

Kelapan : Semua ibubapa amat bimbang jikalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tidak boleh baca Quran atau solat, tak pula dibimbang bahkan tidak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM50.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak dibayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

Kesembilan : Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tidak kira siang dan malam, pagi dan petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tidak hujan, tidak panas, tidak ribut pun tetap tidak datang ke masjid. Sungguh tidak malu manusia sebegini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumah-Nya segan dan malas.

Kesepuluh : Seorang isteri kalau hendak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Aisya : Inilah realiti yang berlaku dalam kehidupan umat Islam di negara kita zaman sekarang. Perkara dunia menjadi matlamat sehingga urusan agama dibelakangkan dan diabaikan. Na'uzubillah...

Iman Semut VS Iman Manusia

Sekadar gambar hiasan

20 Jamadil Awal 1430

Di zaman Nabi Allah Sulaiman a.s. telah berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman a.s. terlihat seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman a.s. merasa hairan bagaimana semut tersebut boleh untuk terus hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman a.s. lalu bertanya kepada semut, "Wahai semut, apakah engkau yakin ada makanan yang cukup untuk kamu di sini?"

Semut menjawab, "Rezeki di tangan Allah, aku sangat percaya rezeki di tangan Allah, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman a.s. pun bertanya, "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak manakah engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut, "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman a.s. pun mencadangkan, "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak usahlah kamu melata di atas batu, aku boleh menolongmu".

Nabi Allah Sulaiman a.s. pun mengambil sebuah bekas, lalu mengangkat semut itu dan memasukkannya ke dalam bekas, kemudian Nabi Sulaiman a.s. mengambil sebiji gandum, diletakkan ke dalam bekas dan menutup bekas itu. Kemudian Nabi Sulaiman a.s. meninggalkan semut itu di dalam bekas dengan sebiji gandum selama sebulan.

Apabila cukup sebulan Nabi Allah Sulaiman a.s. melihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut itu, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut itu, "Kamu rupanya berbohong pada aku! Bulan lalu kamu katakan kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah!"

Jawab semut, "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku berada di atas batu, aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku sendiri yang mencarinya dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bilamana kamu masukkan aku ke dalam bekas yang tertutup ini, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan selama dua bulan. Aku takut kamu akan lupa".

Itulah kisah Iman seekor semut. Bagaimana pula dengan Iman manusia?

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang bekerja sebagai penggali kubur. Kerja menggali kubur orang mati bukan suatu kerja orang ganjil. Apabila ada orang mati, mayatnya perlu ditanam, oleh itu kubur perlu digali dahulu. Tetapi apa yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak menggali kubur untuk tanam mayat. Sebaliknya apabila orang yang telah mati selesai ditanam, waris-waris sudah lama pulang ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk menggali.

Dia mahu melihat bagaimana rupa mayat setelah disoal oleh Munkar dan Nakir. Dia menggali sebuah kubur hingga 100 buah kubur.

Setelah itu, penggali tersebut terus bertemu dengan Imam Suffian seraya bertanya kepadanya, "Wahai Imam, mengapakah daripada 100 kubur orang Islam yang kugali, tetapi hanya dua buah kubur sahaja yang mana mayat di dalamnya masih menghadap kiblat. Yang selebihnya sudah berpaling ke belakang?"

Imam Suffian menjawab, "Di akhir zaman, hanya 2 daripada 100 umat Islam yang percaya bahawa rezeki itu di tangan Allah, dan yang selebihnya lagi tidak mempercayai bahawa rezeki itu di tangan Tuhan".

Melalui kisah ini, nyatalah bahawa iman semut adalah lebih kuat dari iman manusia.

Saidina Ali KWJ pernah berkata, "Ilmu itu lebih berharga daripada harta, ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta, ilmu menjadi hakim dan harta dihakimkan, harta berkurang apabila dibelanjakan dan ilmu bertambah apabila dibelanjakan".

Aisya : Kisah yang amat menginsafkan. Terlalu nipis keimanan umat Islam di akhir zaman ini dek kerana sogokan wang dan harta yang melimpah ruah, menyebabkan kita sering lupa pada Allah dan tidak pernah bersyukur dengan nikmat dan rezeki kurniaan-Nya. Na'uzubillah...

Bagaimana Wudhu' Zahir dan Batin?

"At-Toharah Shatrul Iman"

20 Jamadil Awal 1430

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggap lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya,

"Wahai Abu Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu :
* Bertaubat.
* Menyesali dosa yang telah dilakukan.
* Tidak tergila-gilakan dunia.
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya').
* Tinggalkan sifat berbangga.
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu.
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat".

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan seolah-olah, aku sedang berhadapan dengan Allah, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, Malaikat Maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas Titian 'Siratal Mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Aisya : Wudhu' adalah salah satu amalan yang boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Selalulah berwudhu'.

3 Mei 2009

Kisah : Wanita Berpurdah & Dunia

Berhati-hatilah dengan dunia...

8 Jamadil Awal 1430

Suatu kisah. Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah Al-Munawwarah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera. Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid, memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut. Aku bergegas mengejar wanita itu. Nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memalingkan wajahnya seketika padaku, membuatkanku terasa seolah-olah dapat melihat cahaya senyuman nakal di balik purdah hitamnya.

“Adakah ini khayalanku sahaja?” bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu. “Siapakah wanita itu?”

Aku memantaskan langkahku menelusuri lorong di mana wanita itu dilihat masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa di hadapan, masih tidak dapat dikejar semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak.

“Adakah wanita itu orang gila?”

Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari tumbuh dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang kami berada di tempat yang tidak disangka…sebuah perkuburan lama. Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara.Dalam 60 langkah di antara kami, aku melihat wanita itu mamandang ke arahku, menunjukkan arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur lama. Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi.

“Kuncikan pintu itu,” kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, “Dan bawakan kuncinya”. Aku akur.

“Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu” kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku.

“Buanglah” ujar wanita itu sambil ketawa. “Tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu dan mengekoriku ke mari” tempelak wanita itu lagi. Aku diam.

“Waktu maghrib sudah hampir selesai” kata wanita itu bernada menyindir.

“Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?”
Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh. Aku berasa kagum, kemudian takut.

“Tiba masanya untuk melihat aku” kata wanita tersebut dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajahnya sebenarnya. Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya.

“Pandang aku sungguh-sungguh” kata wanita itu lagi.

“Namaku DUNIA. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku, sekarang kau telah memiliki diriku. Di dalam kuburmu. “Mari…mari…”

Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana. Astaghfirullahal’adzim…

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud :

“Hampir-hampir seluruh umat mengelilingi kamu seperti mana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka”.
Ada yang bertanya “Apakah itu disebabkan bilangan mereka kurang?” Rasulullah S.A.W. menjawab “Bilangan kamu pada ketika itu ramai seperti buih-buih. Allah mencabut dalam hati musuh-musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan Al-Wahn dalam hati kamu”.
Ada yang bertanya : “Apakah Al-Wahn itu ya Rasulullah?” Jawab baginda; “Cintakan dunia dan bencikan mati”.

Aisya : Kisah yang amat menginsafkan dan memberi pengajaran yang berguna kepada kita semua yang sentiasa lalai dengan dunia. Posting ini adalah dicopy paste dari kiriman emel sahabat.

2 Mei 2009

Majlis Perkahwinan Fatimah Az-Zahra'

Sekadar gambar hiasan...

7 Jamadil Awal 1430

Sebut pasal hantaran pada zaman sekarang, ianya seakan dianggap seperti value atau nilai seseorang perempuan itu. Kalau yang graduate kebiasaannya hantarannya lebih mahal dari yang setakat SPM. Ini belum dikira paras rupa, kedudukan keluarga dan sebagainya.Tak tahu berapa value market sekarang ini tapi rasanya purata dalam RM8,000 hingga RM10,000. Hantaran ditentukan oleh pihak pengantin perempuan kononnya untuk menampung perbelanjaan kenduri kahwin. Kalau di bandar-bandar besar, standart perbelanjaan majlis kahwin sekitar RM20,000.
Begitulah realiti kejahilan masyarakat Melayu zaman sekarang yang sanggup meniaga dan menjual anak demi kepentingan adat dan maruah. Pepatah yang berbunyi, “Biar mati anak, jangan mati adat” yang amat dipegang oleh masyarakat Melayu, seolah-olah menggambarkan kepentingan adat melebihi kepentingan agama itu sendiri. Demi menjaga adat dan maruah keluarga, mereka sanggup mengenepikan agama yang menjadi dasar dalam kehidupan. Wang dan harta dianggap Tuhan, mengapa?! Kerana ianya zahir di hadapan mata dan dapat memberikan kesenangan di dunia. Sedangkan mereka tidak berfikir akan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dengan kesenangan di Akhirat.
Tujuan pengsyariatan walimatul urus atau majlis perkahwinan dalam Islam adalah untuk menghebahkan kepada masyarakat tentang pernikahan seseorang bukannya untuk melakukan pembaziran sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat kita sekarang. Ditambah pula dengan unsur-unsur syirik seperti tabur-menabur, renjis merenjis dan sebagainya. Beginilah tahap kejahilan masyarakat Melayu zaman sekarang yang meninggikan adat lebih dari agama.

Tahukah kita bagaimanakah persiapan majlis perkahwinan untuk puteri Rasulullah S.A.W.?

Seorang gadis yang terlalu istimewa, cantik paras rupanya, mulia akhlaknya, terjaga maruahnya oleh iman dan taqwa kepada Allah S.W.T., mempunyai nasab yang paling bersih, suci dan tinggi kedudukannya di mata manusia dan di sisi Tuhannya. Anak perempuan seorang Nabi. Dialah Fatimah az-Zahra', puteri Rasulullah S.A.W., wanita yang paling dikasihi dan dilindungi.

Tahukah kita apakah persiapan majlis kahwin Fatimah al-Zahra' dengan Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H.?

* Alat penggiling gandum.
* Bantal yang di isi daun-daun kering dan biji kurma.
* Alat penumbuk.
* Sebuah bekas air.
* Kulit yang di samak.
* Sebiji pinggan.

Abu Bakar r.a. menangis ketika melihat keadaan persediaan perkahwinan puteri Rasulullah S.A.W. itu.
Beliau bertanya, "Ini sajakah bekalan untuk Fatimah?"
Nabi S.A.W. menjawab : "Wahai Abu Bakar, ini semua sudah cukup banyak untuk orang yang masih hidup di dunia."

Aisya : Wallahua'lam...

Related Posts with Thumbnails

Tinta Aisya is wearing Abu Uttoh by Aisya Studio | To Blogger by Aisya Humaira at Faisal'z Studio | Entries (RSS) and Comments (RSS).