15 Mei 2009
10 Amalan Terbalik
20 Jamadil Awal 1430
Pertama : Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW di mana Rasulullah SAW telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyediakan makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
Kedua : Kalau hadir ke kenduri walimatul'urus (kenduri kahwin), orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tidak ada duit untuk dikepit dalam tangan, maka segan dia nak ke kenduri itu. Tetapi kalau dia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tidak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
Ketiga : Ketika menghadiri majlis pemimpin negara, kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tidak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?
Keempat : Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan untuk menghabiskan makanan yang dihidangkan kerana berasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut ialah dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
Kelima : Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk mengelakkan rasa riak.
Keenam : Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati bahawa perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasalah yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
Ketujuh : Kalau hendak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila pulang dari Mekah tidak sedikitpun dibuat kenduri. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
Kelapan : Semua ibubapa amat bimbang jikalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tidak boleh baca Quran atau solat, tak pula dibimbang bahkan tidak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM50.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak dibayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
Kesembilan : Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tidak kira siang dan malam, pagi dan petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tidak hujan, tidak panas, tidak ribut pun tetap tidak datang ke masjid. Sungguh tidak malu manusia sebegini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumah-Nya segan dan malas.
Kesepuluh : Seorang isteri kalau hendak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
Aisya : Inilah realiti yang berlaku dalam kehidupan umat Islam di negara kita zaman sekarang. Perkara dunia menjadi matlamat sehingga urusan agama dibelakangkan dan diabaikan. Na'uzubillah...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)







1 ulasan:
betul2,byk amalan yang sudah lari daripada yang sebetulnya.kalau Allah dan RasulNya yg diletakkan paling atas, tentu xjadi gini...
Utamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia.
Catat Ulasan