TINTA AISYA HUMAIRA

www.tinta-aisya.blogspot.com

Ahlan Wasahlan Ke Blog Tinta Aisya.
"Wahai Tuhan Kami, Bukakanlah Ke Atas Kami Hikmah-Mu, Dan Limpahilah Ke Atas Kami Khazanah Rahmat-Mu. Wahai Tuhan Kami, Tambahkanlah Ilmu Kami Dan Luaskanlah Kefahaman Kami.Wahai Tuhan Kami, Lapangkanlah Dada-Dada Kami Dan Permudahkanlah Segala Urusan Kami". -Amin Ya Robb-
Selamat Melayari Blog Ini...

MUTIARA HADIS

www.tinta-aisya.blogspot.com

"Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak Sempurna Iman Seseorang Itu, Sehinggalah Dia Mengasihi Saudara Mereka (Sesama Islam), Sepertimana Dia Mengasihi Dirinya Sendiri" -Anas Bin Malik r.a.-
Ukhuwwah Fillah...

3 Jun 2010

Mengapa Mancis Tidak Dibeli?


20 Jamadil Akhir 1431

Kutukan demi kutukan terus mengundang gelak ketawa yang berdekah-dekah dari pihak Israel. Sudah lama masyarakat Arab Timur Tengah dan masyarakat Islam sedunia amnya berdoa kepada Allah S.W.T. memohon pertolongan. Dan tentunya doa orang-orang yang teraniaya dan dizalimi akan dikabulkan Allah S.W.T. Allah Taala mungkin tidak akan menurunkan burung ababil lagi selepas Nabi Muhammad S.A.W. untuk turun membantu.

Sebenarnya, Allah Taala telahpun mengabulkan doa itu dengan mengurniakan kekayaan sumber minyak yang melimpah ruah kepada negara-negara Arab agar mereka dapat membantu saudara-saudara mereka. Tapi apa yang mereka telah lakukan dengan kuniaan Allah tersebut? Bahkan dengan kurniaan itulah mereka telah bermegah-megah dan bercakaran sesama sendiri, malah lena dalam dakapan musuh.


Dengan kurniaan Allah S.W.T. itu, adalah mustahil bagi mereka tidak mampu untuk membeli sekurang-kurangnya sebiji bom nuklear buruk setaraf bom atom yang menghancurkan Hiroshima dan Nagasaki 65 tahun lalu.


Satu lagi pertolongan Allah yang kita tidak nampak ialah pengumpulan umat yahudi pada satu tempat. Pada tiga abad lalu, adalah sukar untuk mencari umat yahudi kerana mereka tinggal bertaburan di atas muka bumi dan merempat dikebanyakan negara. Tetapi pada abad ini umat Yahudi di seluruh dunia telah dikumpulkan pada suatu tempat yg khas, iaitulah di negara HARAM yang diberi nama Israel. Apa tujuannya?


Pernahkah anda menyapu sampah dihalaman rumah? Biasanya sampah yang berselerakan akan dikumpulkan pada satu tempat, selepas itu barulah longgokan sampah itu dibakar.


Nah sekarang sampah sudah dilonggokkan pada satu tempat, dan duit sudah ada untuk membeli mancis. Tapi negara-negara Islam khususnya negara-negara Arab masih lagi lena dengan habuan duniawi.


Itu permasalahannya! Israel masih kekal kerana kecerdikan mereka, dan kita masih bercakaran sesama sendiri kerana kebodohan kita. Payahkah untuk kita bersatu? Cuba anda bayangkan sekiranya Allah S.W.T. mengurniakan kekayaan minyak kepada Israel.


Aisya : Renung-renungkan...

7 April 2010

Hikmah Pergerakan Dalam Solat

22 Rabi'ul Akhir 1431

Setiap pergerakan solat yang diajar oleh baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pelbagai hikmah dan bermanfaat bagi kesihatan kita. Syaratnya, semua pergerakan tersebut hendaklah dilakukan dengan sempurna.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

"Jika engkau berdiri untuk melaksanakan solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah Al-Fatihah dan surah di dalam al-Quran yang engkau rasakan paling mudah. Lalu, rukuklah dengan tenang (thoma'ninah), lalu bangunlah sehingga engkau berdiri tegak. Setelah itu, sujudlah dengan tenang, kemudian bangunlah sehingga engkau duduk dengan tenang. Lakukanlah seperti itu pada setiap rakaat solatmu."

Para ulama’ telah mengkaji kebenaran sabda Rasulullah S.A.W. ini. Rasulullah S.A.W. menyebut, “Jika engkau berdiri untuk melaksanakan solat, maka bertakbirlah”. Di dalam kitab hadis Sohih Bukhori ada menyebut bahawa Rasulullah S.A.W. mengangkat kedua tangan baginda ke atas sehinggan ke separas dengan bahu. Takbir ini dilakukan ketika hendak rukuk dan ketika bangun dari rukuk.

Apakah rahsianya?
Pada saat kita mengangkat tangan separas bahu, secara automatiknya dada kita akan terbuka. Ini akan membolehkan aliran darah dari pembuluh darah yang terdapat di lengan, mengalir sebahagian otak menyebabkan berlakunya keseimbangan tubuh.

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi, "Rukuklah dengan tenang (thoma'ninah)." Ketika rukuk, Rasulullah S.A.W. meletakkan kedua telapak tangan di atas lutut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori.

Apakah rahsianya?
Rukuk yang dilakukan dengan tenang dapat merawat kelenturan tulang belakang yang berisi sum sum (sebagai pusat saraf manusia). Rukuk juga dapat memelihara kelenturan tuas sistem keringat yang terdapat di belakang pinggang, paha dan betis belakang. Begitu juga tulang leher, tengkuk dan saluran saraf ingatan akan terpelihara kelenturannya apabila rukuk. Kelenturan saraf ingatan dapat dijaga dengan mengangkat kepala secara maksimum dengan mata menghadap tepat ke tempat sujud.

Baginda S.A.W. bersabda lagi, "Lalu bangunlah sehingga engkau berdiri tegak".

Apakah rahsianya?
Semasa berdiri dengan mengangkat tangan, darah dari kepala akan turun ke bawah, sehingga tekanan darah di bahagian pangkal otak yang mengatur keseimbangan berkurang. Hal ini dapat menjaga saraf keseimbangan tubuh dan berguna bagi mencegah penyakit pengsan secara tiba-tiba.

Seterusnya, baginda S.A.W. bersabda lagi, "Setelah itu, sujudlah dengan tenang".

Apakah rahsianya?
Apabila pergerakan ini dilakukan dengan betul, sujud dapat memaksimumkan aliran darah dan oksigen ke otak atau kepala, termasuk juga pada mata, telinga, leher serta hati. Cara seperti ini amat efektif untuk membongkar sumbatan pembuluh darah di jantung, sehingga risiko terkenanya penyakit jantung dapat diminimumkan.

Sabda baginda S.A.W. lagi, "Kemudian bangunlah sehingga engkau duduk dengan tenang”.

Apa rahsianya?
Cara duduk di antara dua sujud dapat menyeimbangkan sistem arus dalam tubuh kita. Selain dapat menjaga kelenturan saraf di bahagian paha, cekung lutut, cekung betis, sehingga jari-jari kaki.

Masih terbanyak lagi hikmah dalam setiap pergerakan di dalam solat. Semua ini memperlihatkan bahawa solat adalah anugerah terindah daripada Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.

Aisya : Subhanallah!!

6 April 2010

Kitaran Hidup Manusia

Kitaran hidup manusia

22 Rabi'ul Akhir 1431

Fitrah kejadian manusia, satu kitaran yang cukup menarik dan seharusnya direnungi supaya kita dapat bermuhasabah agar setiap nikmat yang Allah S.W.T. pinjamkan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Sesungguhnya setiap yang Allah S.W.T. jadikan itu, tidak lari tidak ia adalah untuk dimanfaatkan dengan sebaik-sebaiknya oleh umat manusia di alam ini.

Satu kitaran atau pusingan hidup yang telah Allah S.W.T. tentukan, bahkan setiap hamba-Nya akan lalui dan hadapi walaupun mereka tidak suka dan mereka tidak bersedia, namun ketentuan Allah S.W.T. tiada siapa yang dapat menghalang. Itulah kitaran hidup yang mana bermulanya ia dari saat kita dilahirkan sebagai seorang bayi, membesar menjadi kanak-kanak, meningkat remaja, berubah menjadi dewasa dan akhirnya menjadi tua.

Dalam kitaran usia itu Allah S.W.T. selitkan satu hikmah dan pengajaran supaya kita berfikir dan memanfaatkan sebaik-baiknya usia dan masa yang Allah S.W.T. berikan kepada kita supaya kita tidak menyesal di hari mahsyar kelak. Sesungguhnya bersama-sama kitaran usia itu Allah S.W.T. sertakan ia bersama-sama dengan satu lagi kitaran yang tidak kita sedari iaitu kekuatan diri atau tenaga.

Bermula dengan kekuatan diri yang lemah, kemudian Allah S.W.T. berikan sepenuh kekuatan dan tenaga dan kemudiannya Allah S.W.T. jadikan diri ini lemah kembali. Itulah kitaran kekuatan diri yang mana dari saat kita dilahirkan sebagai seorang bayi sehingga kita ke alam kanak-kanak, kita berada di dalam keadaan lemah. Bilamana kita meningkat ke alam remaja dan dewasa, di situlah Allah S.W.T. berikan sepenuh tenaga dan kekuatan pada diri kita. Dan bilamana usia kita mula menjejak ke alam tua, Allah S.W.T. jadikan diri ini lemah semula seperti di alam kanak-kanak.

Satu kitaran yang menarik yang telah diaturkan oleh Allah S.W.T. supaya kita memanfaatkan sebaik-baiknya untuk kerja-kerja agama. Bermulanya kitaran tersebut, seorang bayi dan kanak-kanak tidak mempunyai kudrat dan kekuatan untuk melaksanakan sesuatu. Segala yang ingin dilakukan ketika berada di usia itu, akan dibantu dan dilaksanakan oleh orang lain.

Namun begitu, bilamana meningkatnya usia, bersama-sama itu Allah S.W.T. tingkatkan lagi kekuatan dan keupayaan agar kita dapat melaksanakan sesuatu itu dengan keupayaan sendiri. Ketika inilah seharusnya setiap insan memanfaatkan ia dengan sebaik-baiknya dengan banyakkan beribadah kepada Allah S.W.T. dan dengan melaksanakan kerja-kerja amar makruf dan nahyu mungkar.

Bilamana masa beredar maka usia makin meningkat. Bilamana usia sudah mula ke alam tua, maka di situ Allah S.W.T. kurangkan kudrat dan kekuatan kita sedikit demi sedikit. Dan di situlah kita mula kembali lemah seperti dipermulaan kita dilahirkan. Di saat itulah kita menghitung detik dan masa untuk roh dipisahkan dari jasad oleh malaikat Izrail.

Satu persoalan yang perlu dijawab kita sebagai Azhariyyun, benarkah kata-kata orang-orang dahulu “muda-muda enjoy dulu, dah tua baru bertaubat” Sedangkan kitaran yang Allah S.W.T. ciptakan ini, kekuatan dan kudrat diri Allah S.W.T. berikan ketika usia remaja dan dewasa. Bagaimanakah kita hendak laksanakan amar ma’ruf dan nahyu mungkar sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan dan kudrat?

Kepada yang mempunyai tanggapan sedemikian, harus diingat bahawa bilamana di Mahsyar nanti, Allah S.W.T. akan menyoal berkenaan dengan usia muda kita. Ke manakah usia tersebut dihabiskan. Adakah dihabiskan ke jalan maksiat atau dengan membantu agama-Nya. Allah S.W.T. tidak mempersoalkan berkenaan usia tua kerana segala kekuatan dan kudrat untuk beribadah dan membuat kerja-kerja Islam telah Allah S.W.T. berikan ketika di usia muda.

Di sini siapakah yang rugi? Orang muda yang memanfaatkan usianya dengan beribadah dan bergerak kerja untuk Islam atau orang yang usia mudanya “enjoy” dan di usia tua baru hendak insaf dan bertaubat. Maka manfaatkanlah usia muda yang kita ada ini sebaik-baiknya supaya kita tidak menyesal di hari Mahsyar kelak.

Aisya : Usia remaja adalah usia emas. Gunakanlah usia emas itu dengan melakukan ibadat kepada Allah S.W.T. dengan bersungguh-sungguh kerana di satu masa apabila usia sudah meniti waktu senja, Allah akan tarik nikmat kudrat dan kekuatan yang telah dipinjamkan kepada kita di suai muda. Wallahua'lam.



2 April 2010

Jalan Yang Ditempuh Ulama Dalam Menegakkan Islam

Ulama sebagai pewaris perjuangan para Nabi dan Rasul

17 Rabi'ul Akhir 1431

Inilah jalan yang ditempuh oleh para ulama' dalam menegakkan Agama Islam :

Imam Syafie
Tangan dan kakinya dirantai lalu dibawa menghadap pemerintah dan hampir-hampir dipancung kerana dituduh Syiah dan pemecah-belah masyarakat.

Imam Hanafi
Ditangkap, dipenjara, disebat, disiksa dan dipaksa minum racun oleh pemerintah lalu meninggal dunia kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah.

Imam Maliki
Disebat dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya oleh pemerintah kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah.

Imam Hambali
Dipenjara oleh pemerintah dan dirotan belakangnya hingga hampir terlucut kainnya kerana mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan kehendak pemerintah. Pemerintah menganggap mereka lebih betul daripada ulama.

Sufyan Ath-Thauri
Seorang wali Allah yang termasyhur. Ditangkap tanpa bicara kerana berani menegur kesalahan khalifah dan dihukum gantung tetapi sewaktu hukuman hendak dijalankan kilat dan petir menyambar pemerintah dan menteri-menterinya lalu mereka mati tertimbus tanah.

Said bin Jubair
Seorang wali Allah yang dikasihi harimau. Dibunuh kerana didakwa memecah-belahkan masyarakat, menentang kerajaan dan berkomplot untuk menjatuhkan pemerintah.

Abu Yazid Al Bustami
Wali Allah yang terkenal dengan pelbagai karamah. Dituduh sesat kerana ilmu agamanya lebih tinggi daripada pemerintah. Dihukum pancung oleh pemerintah tetapi tiada siapa berjaya memancungnya.

Abul Husin An Nuri
Wali Allah yang mampu menundukkan api. Ditangkap dan hampir dihukum kerana dia menentang tindakan pemerintah yang membenarkan minuman arak berleluasa dalam negara.

Imam Nawawi
Hampir-hampir dipukul dan telah dibuang negara oleh pemerintah kerana menegur tindakan pemerintah menyalahgunakan wang rakyat. Juga seorang wali Allah yang terkenal sepanjang zaman.

Aisya : Wallahua'lam

28 Mac 2010

Teguran (Part 2)


13 Rabi'ul Akhir 1431

SITUASI MASYARAKAT KINI

Ramai di kalangan masyarakat kita pada hari ini, lebih-lebih lagi golongan agamawan khususnya azhariyyun dan azhariyyat yang petah berkata-kata, pandai menyusun kata dan memberi motivasi kepada orang lain serta terlalu ghairah untuk menegur bagi menyatakan dirinya yang lebih sempurna berbanding orang lain. Perlu diingat, ini adalah salah satu sifat manusia yang yang diistilahkan sebagai ‘sombong dunia’ atau keras hati dan jenis manusia sebegini tidak suka menerima pandangan orang lain lebih-lebih lagi sekiranya penegurnya itu adalah orang yang lebih muda atau sebaya. Malah, bagi mereka, pandangan mereka adalah jauh lebih baik dan pandangan orang lain adalah sebaliknya. Mereka seolah-olah memaksa masyarakat sekeliling untuk menerima pandangan mereka walaupun ada sesetengah masyarakat yang tidak bersetuju dengan apa yang dibawanya. Mereka ini adalah golongan yang sangat payah untuk ditegur dan perlu mengambil pendekatan yang berbeza contohnya mewakilkan seorang yang jauh lebih tua untuk menegur mereka, atau mewakilkan dengan seseorang yang mereka sangat hormati.

Menurut kajian pakar-pakar motivasi di Malaysia, golongan manusia yang bersifat sebegini banyak terdapat dalam masyarakat Melayu yang berlatarbelakangkan sederhana atau kaya. Dari sudut keluarga pula, kebiasaannya sifat sebegini wujud dalam diri anak bongsu yang mempunyai adik beradik yang ramai.

Sebagaimana yang kita tahu, manusia yang bergelar Melayu Muslim seperti kita ini amat mementingkan adab kesopanan dan tatasusila kerana bangsa Melayu Muslim amat sensitif dengan perkara-perkara sebegini. Ini menunjukkan bahawa budaya tegur menegur di dalam masyarakat Melayu Muslim memerlukan kepada pendekatan yang cukup berhemah.
Untuk mengelakkan perpecahan di dalam masyarakat, kesalahan-kesalahan ketika menegur perlulah diminimakan. Ada sesetengah individu yang gemar menggunakan pendekatan menegur dengan hanya berkias tanpa menceritakan hal sebenar yang berlaku lalu menyebabkan orang yang ditegur itu terpinga-pinga tanpa mengetahui apa sebenarnya kesalahan yang dilakukan. Maka perjelaskanlah, jangan membuatkan segala kesalahfahaman itu membunuh hubungan yang terjalin selama ini. Ada juga sesetengahnya yang mengambil pendekatan menegur dengan cara yang ‘kasar’ tanpa mengambilkira perasaan orang yang ditegurnya. Ini adalah situasi yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini yang mana mengakibatkan rosaknya hubungan sesama Islam.

Sebagai contoh apabila kita ingin menegur sahabat yang melakukan kesalahan, sewajarnya bagi kita memahami perasaan dan sifat peribadinya supaya tidak timbulnya rasa dendam dan ketidakpuasan hati dalam diri orang yang ditegur.

Teringat kisah seorang sahabat saya yang telah menegur sahabatnya dengan hanya menghantar SMS dan juga mengemukakan komen-komen di laman sosial. Ini jelas satu pendekatan yang tidak tepat dan sekaligus menyebabkan tergurisnya hati seorang sahabat. Hal ini mengakibatkan terjadinya situasi di mana apabila mereka bertemu seolah-olah tidak ada apa yang berlaku, tetapi di ruangan maya, dia seolah-olah melepaskan dendam dan hasad yang terbuku di hati. Secara peribadinya saya memang amat tidak bersetuju dengan pendekatan yang diambilnya itu.

Saya merasakan cara yang terbaik untuk melakukan teguran itu haruslah dengan bersemuka bukan dengan cara menghentam dari belakang yang mana cara ini sebenarnya amat melukakan hati sahabat yang ditegur. Ramai di kalangan masyarakat khususnya yang bergelar ustaz dan ustazah, terlalu ghairah dalam melakukan teguran tetapi dalam masa yang sama mereka melenting apabila ditegur. Dengan maksud apabila mereka ditegur, mereka seboleh-bolehnya mencari alasan untuk tidak disandarkan kesalahan itu kepada mereka malah menghentam semula orang yang menegurnya. Inilah realiti yang wujud di kalangan azhariyyun dan azhariyyat.

Seharusnya pilihlah sesi teguran yang sesuai dan memudahkan orang ditegur itu menerima dan mendengar teguran kita. Elakkan menegur seseorang secara terbuka, di depan khalayak ramai, atau di depan sahabat-sahabatnya. Biarlah kita menegur seseorang itu seadanya dan pada kadar dan had yang sepatutnya.

Sekiranya kita mahu menegur seseorang melalui tulisan di ruangan maya, tegurlah dengan apa yang perlu sahaja. Tidak perlu membangkitkan soal-soal yang tak sepatutnya, teguran itu juga tidak perlu berbentuk ‘menghentam’ dan juga tidak perlu terlalu ghairah untuk menunjukkan kesalahannya. Memang amat sedih sekiranya mereka yang berniat untuk menegakkan sesuatu kebenaran tetapi teguran yang dilakukan tidak menepati adab-adab yang sepatutnya. Kadang-kadang, keinsafan telah mekar di hati orang yang ditegur tetapi mereka masih lagi menghentam dan mencari kesalahannya.

Perlu diketahui bahawa, objektif sebuah teguran itu adalah untuk mengingatkan orang yang berbuat salah agar sedar akan kesalahan yang dilakukan dan diharapkan tidak mengulangi kembali bukannya matlamat sebuah teguran itu untuk membuatkan pihak yang bersalah semakin diulit rasa bersalah dan menambahkan lagi tekanan buatnya. Itulah kesilapan yang banyak berlaku dalam masyarakat. Manusia-manusia sebegini tidak perlu dianggap hebat kerana mereka hanyalah sekadar memulakan bibit-bibit pergaduhan dan persengketaan. Golongan yang belajar ilmu agama yang merasakan diri mereka pandai seharusnya tidak bersikap sedemikian. Jangan sampai kita terlalu ralit mengutarakan dalil-dalil sehinggakan kita terlupa untuk mengambil kira hati dan perasaan orang yang ditegur. Selepas itu kita pun merasakan yang kita dah membuat satu kebaikan. Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-Maidah ayat : 8 yang bermaksud :

“dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlakulah adil, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Dalam satu ringkasan sesi ceramah Dr. Zakir Naik berkenaan ‘Media dan Islam’ beliau membuat kesimpulan bahawa perlunya golongan cendekiawan dan ulama’ yang mahir dalam ilmu agama untuk mempelajari kemahiran berkomunikasi sama ada sesama muslim atau bukan muslim untuk mengelakkan golongan yang dipandang mulia ini menjadi fitnah pada agama Islam itu sendiri dalam setiap hujah dan dalil yang mereka utarakan.

Janganlah kita hanya mampu menegur dengan membawa dalil-dalil yang mantap, tetapi seharusnya kita mampu menegur sesuatu kesalahan TANPA PERLU ADA SIKAP EMOSIONAL dalam setiap teguran yang dilakukan. Betul, sikap manusia tidak pernah sempurna tetapi kadang-kadang tindakan, percakapan dan fikiran kita berlandaskan emosi yang melampau.

Kajian memberitahu bahawa, kita dapat melihat tahap kematangan seseorang dengan cara kita menilai sikap emosionalnya ketika berkomunikasi atau menegur. Sekiranya sikap emosional yang ketara ditunjukkan ketika berkomunikasi atau berlakunya teguran, ini menunjukkan bahawa tahap kematangannya masih lagi rendah dalam soal kehidupan. Perkara ini jelas, sekiranya kita melihat emosi yang selalu ditunjukkan oleh kanak-kanak membuatkan mereka sentiasa menangis. Jadi, jagalah emosi anda dan serlahkan kematangan anda ketika menegur.

KESIMPULAN

Persoalan yang perlu kita tekankan di sini adalah, adakah cara atau pendekatan yang kita ambil untuk menegur seseorang itu betul? Adakah teguran yang dilakukan boleh membuatkankan seseorang berasa tenang? Atau tersinggung dan terasa?

Jadi, dalam melaksanakan sesuatu teguran, haruslah diutamakan pendekatan yang paling lembut. Bukan setakat isi teguran kita, bahkan gaya bahasa kita, susunan kalimat yang kita gunakan dalam menegur, mimik muka yang manis, dan sekiranya teguran yang berbentuk tulisan atau komentar, maka janganlah menggunakan kalimat-kalimat yang boleh menimbulkan perasaan resah dan benci di dalam hati orang yang ditegur. Semua itu penting dalam memastikan teguran yang kita buat adalah teguran yang berkesan, berhemah dan berhikmah.

Saya teringat kalam yang selalu diucapkan oleh saudara al-Fadhil Ustaz Sabri bin Yamin merangkap Pengerusi Komuniti HPA Kaherah, yang mana beliau menyatakan, “biarlah kita sibukkan diri kita ini dengan melihat kelemahan kita sendiri kerana dengan itu menyebabkan kita tidak ada masa untuk menyibukkan diri kita dengan kelemahan-kelemahan orang lain”.

Aisya : Cara yang terbaik untuk menegur sahabat anda adalah dengan cara yang di ajar oleh Rasulullah S.A.W. Sekiranya kita ingin menegur sahabat yang melakukan kesalahan, tegurlah dengan berhemah dan berhikmah. Bersemukalah dengan mereka dengan cara yang sepatutnya agar segala kekusutan dapat diselesaikan dengan bijaksana dan dapat diterima dengan sebaiknya. Mulakan teguran dengan berselawat dan tegur dengan cara yang manis dan matang tanpa perasaan yang emosional. Juga janganlah menghentam mereka apabila anda pula ditegur kerana seseorang yang suka menghentam seseorang adalah seseorang yang diulit sifat hasad dalam diri. Apapun, sekiranya dia terus menghentam anda, biarkan dia terus dengan emosinya dan ketidakmatangannya itu. Mengalah adalah jalan yang terbaik kerana ianya adalah sifat seorang pemimpin. Untuk menjadi pemimpin yang hebat dan matang sama ada sebagai ketua keluarga atau masyarakat, tidak dapat tidak kita perlu menanam sifat mengalah dalam diri terhadap perkara-perkara yang remeh sebegini. Fikirkan dan renungkan…

Related Posts with Thumbnails

Tinta Aisya is wearing Abu Uttoh by Aisya Studio | To Blogger by Aisya Humaira at Faisal'z Studio | Entries (RSS) and Comments (RSS).